Monday, October 8, 2012

West Ham United vs Arsenal ( 1-3 )

Assalamualaikum buat semua. Sibuk dengan assignment dan exam membataskan untuk update berita terkini dari Emirates. Walau macamanapun, perlawanan Arsenal sememangnya tidak mungkin ditinggalkan termasuklah perlawanan terbaru menentang West Ham pada awal pagi ahad lalu.

Meluangkan masa walaupun sibuk dengan tugasan nyata berbaloi menonton aksi Arsenal apabila menundukkan West Ham 1-3 tempoh hari. Bermain di Upton Park dihadapan hampir 35000 penyokong setia West Ham dan Arsenal bukanlah satu kerja mudah disamping beban yang digalas untuk mencari 3 lagi mata berharga untuk menghambat Chelsea yang sedang angkuh di takhta liga.

Berjersi serba kuning turun dengan meletakkan Giroud sebagai penyerang dan diapit Podolski serta Gervinho menjadi taruhan Arsene Wenger untuk memecah tembok pasukan yang digelar The Hammers itu. Di bahagian tengah menyaksikan Arteta, Cazorla dan Ramsey yang mengisi kekosongan ditinggalkan Abou Diaby diberi tugasan untuk melancarkan pergerakan bola dan mengekang West Ham dari menguasai permainan. Mertesacker yang turun mengambil semula tempatnya nyata membawa impak tersendiri dalam perlawanan malam itu. Dibantu Vermaelen, Gibbs dan Jenkinson pertahanan Arsenal dilihat berupaya mengekang asakan-asakan dari jentera serangan West Ham.

Wisel permulaan ditiup dan Arsenal mula menunjukkan kegarangan dalam mengawal permainan. Hantaran demi hantaran menggugat West Ham yang kadangkala cuba memecah pertahanan Arsenal. Posisi bola lebih memihak kepada Arsenal tetapi disiplin pertahanan West Ham cukup baik untuk mengekang pergerakan bahagian serangan Arsenal. Hampir 20 minit permainan memihak kepada Arsenal, Mohamed Diame mendiamkan gooners di Upton Park dengan rembatan deras yang sukar ditepis Mannone. Gol itu sememangnya sukar untuk diselamatkan tetapi ia sebenarnya boleh dimatikan lebih awal. Mengambil mudah dengan kebolehan pemain ini menyaksikan Arsenal dihukum. Keputusan yang dibuat Ramsey dan Mertesacker tidaklah begitu baik apabila bebas membiarkan pemain ini mengawal bola dan mudah untuk masuk dan melepaskan rembatan.

Bagai diberi bateri baru, West Ham mengasak Arsenal sehingga memaksa pertahanan dan jentera tengah bekerja keras untuk mempertahankan dan kembali mengajak mereka bermain mengikut tempo Arsenal. Arteta, Ramsey dan Cazorla layak menerima pujian kerana mereka ini dilihat tenang mengawal permainan dengan membuat hantaran pendek yang kemas dan beberapa lorongan-lorongan merbahaya walaupun West Ham begitu bernafsu untuk mencari gol kedua mereka. Ketaksuban mencari gol akhirnya membawa padah buat West Ham apabila pertaruhan Giroud sebagai penyerang dibayar dengan jaringan kemas dari Giroud apabila menyambar bola hantaran Podolski dan dihalakan ke gawang West Ham. Memang banyak percubaan dari Giroud pada malam itu. Seperti yang aku katakan dalam post menentang Olimpiakos, beliau sudah semakin serasi dengan Arsenal dan menunggu masa yang sesuai untuk menjadi pemusnah terbaru di bahagian serangan. Lihatlah bagaimana teknik, fizikal yang digunakan cukup cantik kawalan ditunjukkan Giroud walaupun penyudah nya masih perlu dipertajamkan lagi.Hantaran beliau membuka permainan kepada Podolski seperti mesej yang beliau ingin mengyudahkan bola itu. Cubaan yang hampir sama ketika menentang Olimpiakos dimana Walcott menghantar kepada beliau tetapi gagal dijaringkan. Yang membezakan hanyalah dari arah yang berbeza. Disini beliau menunjukkan salahsatu kemampuan beliau yang gemar menyambar bola samada dari sebelah kiri mahupun kanan. Memang aku menantikan kebangkitan Giroud untuk memberi amaran kepada semua pengkritik dan pertahanan-pertahanan di EpL.

Bermula separuh masa kedua, permainan agak seimbang dan kali ini sekali lagi West Ham benar-benar mahu menumbangkan Arsenal. Pertahanan Arsenal sangat berdisiplin dan besungguh-sungguh untuk mengelakkan West Ham mencari gol kedua. Beberapa kali peluang yang mampu membunuh Arsenal dibuang begitu sahaja. Gibbs digantikan Santos yang dikhabarkan mengalami sedikit kecederaan. Tugas Gibbs untuk merantai pergerakan sayap West Ham bukanlah sebegitu mudah. Wenger yang menyedari Gervinho yang kurang menyerlah pada malam itu lantas menggantikannya dengan peluru berpandu Arsenal Theo Walcott. Gervinho bermain agak baik malam itu dengan membuat hantaran-hantaran mudah tidak seperti sebelum ini yang terlalu ingin mengawal bola namun kekangan yang diberikan pertahanan West Ham mematikan pergerakannya. 


Kemasukan Walcott banyak membantu Arsenal apabila bahagian serangan kembali bertenaga. Serangan yang sebelum ini lebih berat di sebelah kiri kini menjadi seimbang setelah Walcott selaku supersub dilihat mampu mengkucarkacirkan sebelah kiri West Ham. Pada minit ke 77, lorongan cantik mencari Walcott dari Giroud dan disudahkan dengan baik oleh Walcott walaupun sudut yang agak sempit berjaya mematahkan semangat West Ham. Pemain yang terkenal dengan kepantasannya ini mudah memecah pertahanan West Ham yang sudah tidak berdaya lagi menghalang pecutan peluru Arsenal ini. Gol yang diraikan Walcott bersama penyokong setia Arsenal menggambarkan perasaannya yang bernafsu ketika ditepi padang melihat rakan-rakannya bekerja keras untuk mencari gol. Cazorla yang gemar membuat bidikan dari jauh seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini kali ini mengenai sasarannya apabila hayunan kaki kirinya membuat Jaaskelainen terpaku melihat bola yang menerjah jaring. Beliau layak menerima gol itu atas usaha yang ditunjukkan sepanjang permainan. Sudah lama Arsenal kurang menjaringkan gol dari jarak jauh dan kini pastinya ia menjadi salah satu perkara yang perlu ditakuti musuh Arsenal apabila bola singgah di kaki pembidik tepat Arsenal seperti Arteta, Cazorla, Podolski., Chamberlain dan Giroud.


Dengan harapan kita teruskan rentak kemenangan dan mengejar kejuaraan. Aku sukakan semangat pemain Arsenal dan sambutan-sambutan gol yang diraikan. Menggambarkan bagaimana mereka di luar padang.Teruskan sokongan dalam kebanggan merah putih Arsenal.
  

No comments:

Post a Comment