Sunday, October 28, 2012

Arsenal vs QPR ( 1-0 )

Bismillhahirrahmanirrahim. Salam buat semua gooner. Hampir seminggu tidak menulis ekoran berhari raya di kampung, banyak perkara berlaku berkaitan Arsenal dan hampir semuanya bukanlah khabar gembira untuk dirai penyokong setia Arsenal. Sedikit ulasan tentang perlawanan semalam dimana Arsenal mencatat keputusan positif dalam meniti perjalanan pertengahan minggu ini menentang Reading dalam pertembungan Capital One Cup dan berkunjung ke Manchester United minggu hadapan dalam pemburuan 3 mata. 

Perlawanan yang berlangsung semalam di Emirates nyata menjadi titik bangkit buat Arsenal untuk kembali ke landasan menghimpit pendahulu liga Chelsea. Mata-mata berharga tidak seharusnya dibuang mudah seperti apa yang berlaku di Carrow Road minggu lalu. Arsenal yang turun dengan sedikit tekanan ekoran dua kekalahan sebelum ini memikul tugas besar untuk memulihkan moral dan semangat sedia ada sebelum mencari kembali rentak kemenangan untuk berdepan Reading dan satu lagi seteru utama kita Manchester United.

Turun dengan kesebelasan yang sedikit berbeza bilamana Jack Wilshere dan Bacary Sagna diturunkan  langsung membuat penampilan sulung mereka dalam jelajah BpL musim ini. Wilshere ditugaskan membantu Cazorla manakala Sagna kembali mengisi tempatnya yang diisi Jenkinson sebelum ini. Ramsey selaku sayap disebelah kanan dan Giroud bertindak sebagai penyerang utama. Santos masih mengisi tempat Gibbs yang belum pulih dari kecederaannya. Posisi lain semuanya seperti biasa dengan Vermaelen mengetuai barisan Arsenal semalam.

Bermulanya wisel permulaan dapat kita lihat Arsenal mempelajari sesuatu ekoran dua kekalahan pada perlawanan lalu. Kali ini lebih berdisiplin dan bertambah sedikit usaha. Ball possession sememangnya menjadi milik Arsenal namun itu bukanlah penentu untuk memperoleh tiga mata sebaliknya kemenangan yang ditagih skuad kendalian Wenger ini. Kehadiran Jack dipadang mula dirasai apabila beliau bersama bola. Hantaran, lorongan dan gerakan beliau tidak menampakkan beliau seperti baru kembali beraksi setelah lama berehat ekoran kecederaan. Gandingannya bersama Cazorla amat dinanti-nantikan dan positif melihat aksi jentera tengah Arsenal mengawal permainan semalam. Umpanan, lorongan berjaya dihidangkan tapi masih tumpul jentera serangan Arsenal untuk menyudahkan. Melihat kepada jentera serangan pasukan lain aku masih mengharapkan Wenger cuba membuat sesuatu untuk mengatasi masalah dibahagian penyudah Arsenal. 

Podolski tidak diguna sepenuhnya diatas padang. Corak permainan seperti Podolski memerlukan sokongan. Ketiadaan Gibbs menghadkan pergerakan sayap Arsenal itu. Giroud perlu kerja lebih keras, aggresif dan bergerak seperti seorang penyerang.  dimana setiap pergerakan dilakukan sentiasa mampu mencetuskan bahaya kepada pihak lawan. Ramsey seperti ingin kembali ke tabiat lamanya. Kredit untuk volleynya yang menuju Cesar. Beliau perlu menambahkan lagi peluang-peluang merbahaya dan kreatif dalam mencipta peluang.

Dibarisan pertahanan Arsenal kurang tekanan dihadapi mereka semalam ekoran bahagian serangan QPR yang tidak menjadi. QpR yang cuba menjadi Norwich City tidak begitu tajam dan sekebal pasukan kenari itu. Beberapa kali kreativiti Taraabt cuba menyulam pertahanan Arsenal namun dapat disambut baik Vermaelen dan rakan-rakan yang lain. Zamora ternyata gagal dalam cubaan membuli pertahanan tinggi lampai Arsenal, Mertesacker. Cabaran yang diberikan Mertesacker semakin baik dalam setiap perlawanan. Vermaelen bermain cantik, lebih rajin dan amat disiplin dalam menjaga Mannone. Bacary Sagna mengubat rindu penyokong Arsenal dengan crossing beliau yang merbahaya. Mengawal kawasan beliau dengan baik dan aku percaya itu bukan all out dari Sagna. Beliau masih mencari keyakinan setelah pulih dari kecederaan. Santos bermain pada kadar biasa dan beberapa kali meninggalkan posisinya yang mampu membahayakan  Mannone untuk membantu serangan. Kesefahaman beliau dengan Podolski perlu ditingkatkan menjelang perlawanan akan datang. Mannone cemerlang di gawang dengan beberapa usaha beliau menyelamatkan Arsenal di akhir perlawanan. Arteta penyelamat dan juga pada pandangan aku Man Of The Match perlawanan semalam sememangnya layak diberi pujian. Dimana ada bola, ada saja kelibat pemain ini. Usahanya nyata berbaloi memberi Arsenal 3 mata dan semangat untuk perlawanan berikutnya.

Pemain gantian yang membawa kesan dalam permainan semalam adalah Walcott dan Arshavin. Walcott membawa angin yang sama ketika bertemu West Ham. Arsenal lebih bertenaga setelah masuknya pemain ini. Harapan semoga pemain ini setia di Arsenal. Arshavin yang jarang dapat beraksi menggunakan peluang sebaiknya menggantikan Gervinho yang juga pemain gantian. Arshavin harus diberi lebih masa bermain untuk beliau menunjukkan sesuatu setelah dipinjamkan dan dibiarkan dibangku simpanan. Gervinho yang masuk menggantikan Podolski tidak mampu mengubah apa-apa sekiranya beliau terus dengan corak permainan yang sama. Walau bagaimanapun diharap beliau segera pulih dari kecederaan.  Dengan harapan kemenangan ini akan menjadi titik kebangkitan untuk memburu kejuaraan.
  
Belum terlewat untuk mengucapkan Salam Aidiladha buat semua umat Islam di seluruh dunia khususnya pengunjung blog ini. Moga dapat kita hayati erti sebenar pengorbanan yang telah kita lakukan sepanjang menumpang dibumi Allah ini. Besar atau kecil sesuatu pengorbanan bukanlah ukuran kepada sesiapa yang merasai nikmatnya.


No comments:

Post a Comment