Wednesday, October 31, 2012

Reading vs Arsenal ( 5-7 )

Bismillahirrahmanirrahim. Puas menonton drama kejam yang yang panjangnya 2 jam. Rasa berdebar belum hilang dan teruja melihat semangat, kegembiraan yang terpancar di wajah yang awalnya terseksa mental fizikal beradu tenaga di hadapan berpuluh ribu penyokong lawan di Madejski stadium. Satu revival yang boleh dibanggakan buat semua gooners. Seolah-olah satu persembahan kepada legenda Arsenal Tony Adams yang turut hadir memberi sokongan kepada bekas kelabnya ini.

Macamana nak disinopsiskan drama pagi ini dari awal hingga ke minit terakhir masing-masing ada babaknya yang tersendiri. Berjaga menonton perlawanan pagi ini nyata berbaloi dengan 12 gol yang dihasilkan dan lebih-lebih lagi 7 gol menyebelahi Arsenal manakala Reading hanya termenung dengan 5 gol yang dijaringkan mereka.  

Bermulanya wisel permulaan, bola lebih banyak singgah di kaki pemain-pemain Reading dan beberapa percubaan mula dilihat hinggap di muka gol Arsenal pada babak awal permainan. Seperti ada yang tidak kena kepada Arsenal yang dibancuh gabungan pemain berpengalaman dan muda apabila kesalahan demi kesalahan dilakukan baik dari segi hantaran mahu pun cara mereka bertahan. Positioning yang kurang baik membuatkan mudah buat tonggak serangan Reading mengkucar kacirkan pertahanan Arsenal yang di pimpin kapten yang bertanggungjawab pada pagi tadi iaitu Johan Djourou. 

Reading yang tahu bagaimana untuk menghukum Arsenal gemar membuka pemainan ke tepi padang sebelum mengumpan hantaran merbahaya sebagai hidangan kepada penyerang-penyerang mereka. Kualiti pertahanan Arsenal yang bukanlah pada tahap yang dikehendaki menjadi punca kepada gol-gol awal yang disedekahkan kepada Reading termasuklah kesilapan Koscielny yang buat kali keduanya menjaringkan gol sendiri musim ini. Seksa pastinya melihat pasukan kita seperti tidak punya idea untuk memecah tembok Reading bila mana 4 gol mudah sudahpun diberikan buat bekalan Reading bersantai sepanjang permainan. 

Kelemahan di bahagian tengah dan pertahanan sememangnya terserlah. Beberapa kali Arsenal cuba untuk menyerap asakan Reading namun pengalaman, mentaliti dan kemahiran yang terbatas menghadkan keupayaan kreativiti jentera tengah Arsenal yang gagal untuk meredakan keadaan. Dua tiga hantaran dilakukan, segera pemain Reading mematahkan cubaan Arsenal untuk mendominasi permainan. Komunikasi yang kurang baik turut dilihat melalui permainan pagi tadi. Beberapa kali hantaran terbuang begitu saja. Tertekan benar skuad didikan Wenger ini apabila digertak pasukan digelar The Royal itu. Pertahanan terus ditekan dan tekan membuatkan Martinez sentiasa dalam keadaan merbahaya.

Minit terakhir babak pertama menjadi plot penting dalam drama pagi tadi bilamana revival Arsenal bermula. Walcott yang menerima lorongan cantik Arshavin menghabiskan lorongan itu dengan penyudah yang cukup cukup sempurna. 1 gol buat Arsenal berbanding 4 gol yang dihasilkan Reading semestinya bukanlah keputusan yang diinginkan sebelum akhir babak pertama.   Pastinya Wenger sudah bersedia dengan leteran-leterannya di bilik persalinan untuk memastikan Arsenal kembali bangkit dalam permainan di babak kedua. Pujian aku lontarkan buat semua gooner yang berada di Madejski Stadium yang tidak berganjak biarpun pasukan Arsenal kesayangan mereka sudah di perbudakkan 4-0. Tunggu dan setia menanti kebangkitan pasukan mereka disebalik penyokong Reading yang sudah berjoget kegembiraan.

Bermulanya babak kedua Arsenal turun lebih berdisiplin. Di awal babak kedua-dua pasukan agak seimbang mengawal permainan dan mutu permainan Arsenal bertambah baik setelah mendengar pesanan Wenger yang menyedari beberapa kelemahan dan bagaimana untuk mengekang Reading  dari terus memegang bola. Namun tugas berat sudah tentu dipikul semua pemain kerana bukan gol kemenangan yang dicari sebaliknya perlu bangkit dari ketinggalan 3 gol dan pada masa yang sama mengekalkan corak permainan untuk mengelakkan Reading menambah jaringan. Berdasarkan aksi semasa yang dilihat kurang mampu untuk memecah benteng Reading yang lebih berhati-hati, minit ke-62 pertukaran dilakukan Arsenal mengeluarkan Gnabry dan Frimpong dan memasukkan Giroud bersama Eisfield. Pertukaran ini sememangnya pertukaran taktikal dari Wenger untuk memastikan lebih banyak peluang dicipta apabila Arshavin berpindah ke sebelah kiri,  Walcott di seberang kanan, Giroud bertindak sebagai second striker di belakang Chamakh dan Eisfield bersama Coquelin menjadi nadi tengah Arsenal. Perubahan ini amat perlu dilakukan untuk mengubah positioning selesa skuad Reading

Giroud dilihat menjadi transit dibahagian serangan apabila beliau menjadi targetman dibahagian tengah untuk melancarkan serangan. Second ball darinya sentiasa di tunggu-tunggu barisan serangan Arsenal untuk menjana serangan. Dua minit selepas kemasukannya petanda posititf taktikal prof mula kelihatan apabila beliau menanduk gol kedua buat Arsenal. Sentap dari jaringan itu Reading cuba untuk menggandakan asakan tetapi kurang berhasil. Anak didik Wenger yang masih tercari-cari dua gol lagi terus memburu sekurang-kurangnya mengheret Reading bermain di masa tambahan. Masa berharga buat Arsenal terus dilengah-lengahkan pasukan Reading yang sudah mula berharap masa permainan dihentikan. Penyokong Arsenal masih terus menunggu keajaiban dari mana-mana 11 pemain Arsenal di padang untuk mengubah keputusan perlawanan. Minit ke-89, Koscielny yang beberapa kali dilihat naik ke atas untuk menebus kesalahan beliau akhirnya berjaya merapatkan jurang Arsenal untuk kembali bernafas dengan tandukan nya yang menerjah jaring untuk gol ketiga Arsenal. Semangat dengan jaringan itu Arsenal terus menerus cuba mengejar Reading yang hanya dipisahkan satu gol. Masa tambahan 4 minit dikeluarkan dan aku terus berharap Arsenal diberi peluang kedua walaupun Reading seakan-akan tidak mahu lagi bermain dengan Arsenal yang sedang bernafsu mencari gol. Minit terkahir perlawanan, memang tidak dapat dikongsi lagi rasa syukur apabila cubaan  dan usaha Walcott mencari gol penyamaan berhasil walaupun cubaan beliau asalnya sudah gol tetapi tidak dikira dan follow up dari Jenkinson menghasilkan gol yang sememangnya gol yang dinanti nantikan. Alhamdulillah. Gembira dengan semangat Arsenal dan gembira melihat staf dan pemain-pemain Reading melopong di tepi padang.


Semangat dan moral yang sedang membuak-buak sudah tentu menjadi senjata Arsenal di masa tambahan. Bermulanya masa tambahan Kedua-dua pasukan mencuba untuk menghasilkan jaringan. Permainan sebenar baru saja bermula dan Arsenal lebih mengawal permainan. Minit ke-103 Chamakh menggunakan rembatan kaki kanan nya untuk menghukum penjaga gol Reading yang di babak awalnya dilihat yakin untuk pulang dengan cleansheet. Jaringan Chamakh mengejutkan pemain Reading dan usaha mereka terbayar apabila Pogrebnyak menanduk hantaran tepat ke gawang Arsenal di penghujung babak pertama masa tambahan. Berakhirnya babak pertama masa tambahan dengan keputusan yang masih mendebarkan. Arsenal terus bermula seperti biasa apabila permainan diteruskan. Permainan yang penuh dengan hati-hati dan sekali lagi rasa syukur Arsenal diberi peluang mendahului di minit-minit akhir permainan apabila Walcott menyambar bola yang terhidang dihadapannya untuk mendahulukan Arsenal. Walaupun begitu, Walcott bukanlah pemain yang bertanggungjawab menutup malam kebangkitan Arsenal, sebaliknya Chamakh mencuri tumpuan dengan lob cantik mendiamkan penjaga gawang Reading ketika mereka dalam usaha mengejar gol penyamaan. 



Showtime Arsenal berakhir seperti sebuah drama kejam yang ditutup dengan happy ending. Tahniah buat gunners yang beraksi pagi tadi. Begitu kuat mentaliti, stamina, dan komitmen yang ditunjukkan untuk merampas kemenangan pagi tadi.. Semoga skuad utama belajar sesuatu dari kekentalan semangat dan perjuangan mereka. Theo Walcott sememangnya antara watak penting dalam kebangkitan yang dipersembahkan. Walaupun hanya 2 gol yang dikira atas namanya sumbangan beliau besar dalam perlawanan pagi tadi. Matchball winner amat layak diterima beliau. Chamakh diharapkan dapat kembali menggegar jaring setelah lama benar tidak menjaringkan gol. 2 gol dari beliau membuktikan bisanya sebagai penyerang. Persembahan seperti ini perlu terus dikekalkan untuk kita memburu trofi kejuaraan yang sudah lama tidak tiba di Emirates. 












No comments:

Post a Comment